sekretariat kepimpinan pelajar (skp)

Sekretariat Kepimpinan Pelajar MRSM Taiping merupakan kumpulan badan kepimpinan yang terdiri daripada Badan Wakil Pelajar, Lembaga Disiplin Pelajar, Jawatankuasa Pengurusan Asrama, Badan Dakwah dan Kerohanian, Ahli Lembaga Koperasi, Pengawas Pusat Sumber Pembelajaran, Pembimbing Rakan Sebaya, English Motivational Club dan Program Usahawan Muda.

Badan Wakil Pelajar

Badan Wakil Pelajar atau singkatannya BWP ditubuhkan sebagai sebuah badan kebajikan dan kerjasama pelajar dalam menjaga kepentingan pelajar-pelajar dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ke arah mencapai matlamat dan wawasan pembangunan bangsa dan negara, disamping menjadi titian atau landasan kepada pelajar untuk memupuk dan menyuburkan bakat kepimpinan serta nilai-nilai demokrasi dan kerjasama di kalangan pelajar.

Pengawas Pusat Sumber Pembelajaran

Badan Pengawas Pusat Sumber Pembelajaran merupakan sebuah badan yang ditubuhkan bukan hanya untuk memperoleh ilmu pengetahuan malahan untuk menerapkan semangat cinta akan ilmu pengetahuan. Di samping itu matlamat Badan Pengawas Pusat Sumber Pembelajaran juga adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan emosi. Dengan itu semua aktiviti yang dianjurkan adalah menjurus kepada penerapan nilai-nilai murni seperti kepentingan hidup bermasyarakat serta menilai penggunaan masa lapang yang optima yang dapat memberikan keseronokan khusunya dalam menambahkan ilmu pengetahuan.

English Motivational Club

English Motivational Committee atau singkatannya EMC ditubuhan sebagai sebuah organisasi yang mewujudkan persekitaran yang terbeza yang mana para pelajar mempunyai peluang bagi menguasai bahasa antarabangsa iaitu Bahasa Inggeris. Di samping itu, melalui program yang dianjurkan pelajar dapat meningkatkan tahap pencapaian dan penguasaan Bahasa Inggeris dalam karier dalam kehidupan harian.

Ahli Lembaga Koperasi

Ahli Lembaga Koperasi Pelajar (ALK) berperanan sebagai ahli yang bertanggungjawab dalam pembangunan koperasi melalui pendidikan di sekolah. ALK dilatih untuk menjalankan tugas dengan amanah, rajin, bertanggungjawab, berdisiplin serta bekerjasama antara satu sama lain. Di samping memupuk keusahawanan dalam diri, pelajar dapat mengembangkan potensi diri secara holistik dalam usaha melahirkan generasi bumiputera yang kompetitif di pasaran global.

Program Usahawan Muda

Program Usahawan Muda memainkan peranan untuk mendidik serta mendedahkan pelajar tentang ilmu-ilmu berkaitan keusahawanan. Melalui program yang dirancang, program ini mampu menarik minat pelajar untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan serta mampu melahirkan lebih ramai usahawan muda.

Lembaga Disipin Pelajar

Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) adalah satu daripada cabang kegiatan kokurikulum pelajar yang membantu pihak maktab menguatkuasakan peraturan-peraturan maktab.LDP ini merupakan badan yang diberi tanggungjawab dalam mengawal disiplin pelajar Maktab Rendah Sains MARA serta memastikan semua pelajar menjaga imej dan nama baik maktab agar matlamat MARA untuk melahirkan pelajar yang berdisiplin dan berketerampilan tinggi dalam pelbagai bidang dapat dilahirkan. Di samping itu, budaya kerja yang diperkenalkan mampu mengiktiraf dan memperkembangkan kepimpinan peribadi para pelajar

Badan Dakwah dan Kerohanian

Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) merupakan badan induk bagi kerohanian di Maktab Rendah Sains MARA. Badan ini merupakan wadah kegiatan pelajar yang menjadi pemangkin utama kepada pengurusan sekolah dalam memastikan semua aktiviti pelajar sejajar dengan matlamat dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual (JERI).

Jawatankuasa Asrama

Jawatankuasa Asrama (JAKSA) ditubuhkan sebagai sebuah badan kepimpinan dengan kerjasama organisasi kepemimpinan pelajar yang lain. Tujuan badan ini ditubuhkan adalah untuk mengawal dan menyelia disiplin para pelajar sepanjang berada di kawasan asrama. Jaksa juga turut berperanan dalam menjalankan tanggungjawabnya menjaga kebajikan, keselamatan dan kecemerlangan pelajar dalam menguruskan masa dan disiplin para pelajar khususnya ketika di asrama.

Pembimbing Rakan Sebaya

Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) merupakan satu organisasi kepimpinan pelajar yang diiktiraf di peringkat Bahagian Penididkan Menengah (BPM) Mara. Falsafah rasmi PRS iaitu ‘bantu diri untuk bantu orang lain’ menunjukkan bahawa setiap ahli PRS haus dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang merangkumi aspek menolong, perhubungan komunikasi, kreativiti dan keimanan. Ahli PRS yang terlatih dalam perhubungan menolong ini dapat meningkatkan lagi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di maktab.