kata aluan pengetua

pengetua

Bismillahirahmannirahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulilah, bersyukur saya kehadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinan-Nya, laman sesawang Maresmart MRSM Taiping telah dapat dihasilkan. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli jawatankuasa yang berjaya menghasilkan laman sesawang ini, 

Melalui laman sesawang ini, pihak kami berharap agar semua ibu bapa dapat menjadikan medium ini sebagai wahana dalam menerima informasi yang tepat daripada pihak maktab. Di samping itu, segala maklumat berkaitan sejarah, visi dan misi, jawatankuasa organisasi maktab serta segala aktiviti yang sedang dan akan dilaksanakan boleh diperoleh melalui perkhidmatan  yang kami sediakan ini.

Sebagai sebuah maktab yang telah mendapat pengiktirafan sebagai “Apple Distinguish School” sudah pasti banyak aktiviti pelajar berkaitan dengan penggunaan ICT khususnya Ipad dalam pembelajaran dan kokurikulum dapat kami kongsikan bersama dengan ibu bapa. Melalui kaedah pembelajaran abad ke-21 ini, sudah pasti penggunaan peranti teknologi ini akan memberi pendedahan dan pengalaman baharu serta menyeronokkan kepada mereka dalam menimba ilmu pengetahuan. Malahan cara ini juga dilihat mampu membentuk sahsiah yang matang kepada mereka terutama dalam aspek komunikasi dan pemikiran secara kreatif. 

Semoga usaha murni ini, dapat memberi inspirasi kepada golongan pelajar untuk terus cemerlang pada masa hadapan. Diharap dengan perkongsian maklumat seperti ini, akan memberikan gambaran yang jelas kepada semua pihak khususnya ibu bapa berkaitan dengan MRSM Taiping.

Akhirulkalam, semoga MRSM Taiping akan terus cemerlang dan kekal gemilang di persada negara amnya dan dunia pendidikan khususnya dalam melahirkan modal insan yang mampu menerajui kepimpinan negara suatu hari nanti.

Sekian, 

Salam Hormat.

Noriha Binti Ahmad
Pengetua,
MRSM Taiping