SEJARAH MRSM TAIPING

Sorotan sejarah mrsm taiping

MRSM Taiping adalah antara MRSM perintis yang ditubuhkan oleh MARA, khusus dalam memajukan pelajar bumiputera dalam bidang sains dan teknologi. MRSM Taiping ialah maktab yang kelapan ditubuhkan dan beroperasi mulai 1 Julai 1983. Majlis Perasmian pembukaan MRSM Taiping telah disemurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni Alhmarhum Sultan Yusuf Izzudin Ghafarullahu-Lahu Shah pada 29 Jun 1987.

Mengikut sejarah, perancangan untuk membina MRSM Taiping telah dilakukan sejak akhir tahun 70-an lagi. Setelah persetujuan dicapai antara kerajaan Negeri Perak dan MARA, maka kerja-kerja pembinaan telah dilakukan pada 15 Oktober 1981. Berdasarkan kepada keperluan, kos pembinaan mencecah RM11 juta dan keluasannya adalah 50 ekar. Lokasi maktab ini terletak di mukim Tupai di daerah Larut, Matang dan Selama, yang mana kedudukannya amat strategik, berhampiran dengan kawasan perlancongan iaitu Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping dan Bukit Larut.

prasarana

MRSM Taiping sememangnya memiliki prasarana yang lengkap bagi kemudahan pelajar. Kalau dilihat perbandingan di awal penubuhan dulu dengan kini, sudah pasti banyak berlaku perubahan terutamanya fizikal bangunan-bangunan yang sedia ada. Kini MRSM Taiping telah memiliki bangunan pentadbiran baru yang tersergam indah. Namun begitu, dapat dikatakan bahawa kebanyakan bangunan yang sedia ada adalah bangunan yang sama, sebagaimana pada awal tahun 80-an dulu. Cuma kita dapat melihat perubahan dari segi landskap sahaja. Yang pasti struktur dan ciri-ciri bangunan asal masih dikekalkan, umpamanya blok asrama, dewan makan, dewan Seri Larut, kelas-kelas serta kawasan makmal. Jadi, bagi yang pernah belajar dan berkhidmat di sini, sudah pasti dapat mengingati detik-detik atau nostalgia yang pernah terukir di MRSM Taiping.

PELAJAR

Kalau dilihat daripada data pelajar, didapati bahawa pada awal penubuhan MRSM Taiping, iaitu pada tahun 1983 direkodkan seramai 286 orang pelajar perintis yang mula belajar di sini. Kemudian kuantitinya makin bertambah pada setiap tahun, umpamanya pada tahun 1986 jumlah pelajarnya adalah seramai  709 orang . Walau bagaimanapun jumlah ini terpaksa dikurangkan atas saranan pihak Kementerian Kesihatan atas faktor situasi di asrama yang kurang kondusif dan padat. Maka atas sebab itu, pihak Badan Pendidikan Menengah MARA mengambil langkah mengurangkan jumlah pengambilan pelajar bermula pada tahun 2018. Terkini jumlah pengambilan pelajar adalah seramai 560 orang sahaja.

pencapaian akademik

MRSM Taiping terkenal dengan perlaksanaan Program Khas Pendidikan atau lebih dikenali sebagai PKP. Program ini bermula secara rasmi pada 23 Disember 1990. Secara umumnya dapat dikatakan bahawa program ini memberi pengetian yang cukup luas kerana ianya menggabungkan penglibatan bersepadu pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum. Sepanjang penubuhannya , MRSM Taiping telah membuktikan dengan pencapaian yang sangat cemerlang dalam peperiksaan SRP(pada awal penubuhan) dan SPM. 

Pencapaian SPM MRSM Taiping